Saturday 6 April 2013

Mari Kenal St. Augustine


St. Augustine (354-430)



Augustine mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah falsafah. Sebagai seorang ahli falsafah dan ahli teologi, Augustine membuat satu titik perubahan dalam sejarah pemikiran. Mayer (1950) dalam bukunya telah menamakan The Age of Augustine adalah kerana Augustine telah meletakkan dasar-dasar bagi pemikiran Abad Pertengahan iaitu mengadaptasikan Platonisme dengan idea-idea Kristian. Stuart Hampshire dalam pengenalan bukunya The Age of Reason menyatakan bahawa falsafah adalah suatu kegiatan berfikir manusia yang berterusan. Oleh itu beliau mengatakan beberapa pemikiran Augustine adalah bertitik tolak daripada pemikiran-pemikiran tokoh falsafah sebelumnya. Terdapat pelbagai pemikiran yang dibincangkan Augustine seperti pendapatnya tentang Tuhan dan manusia, gereja, teori pengetahuan, teori tentang jiwa, dan moral. [i]

            Augustine hidup pada zaman apabila asas keseluruhan masyarakat berada dalam pergolakan. Oleh itu, beliau banyak menyumbangkan pandangan-pandangan teologi yang sangat berpengaruh dan penting bagi Gereja Barat. Augustine dilahirkan di Thagaste (sekarang Algeria), Afrika Utara, pada 13 November 354. Ayahnya bernama Patricius, seorang kafir dan ibunya bernama Monica, seorang penganut Kristian yang taat. Dalam bahasa Latin, Augustine dikenali sebagai Aurelius Augustine. Pendidikan awal beliau ialah dalam bidang tatabahasa dan aritmetik. Ketika berumur sebelas tahun, beliau telah dihantar ke sekolah Madauros dan pada tahun 369 sehingga 370 beliau menghabiskan masa di rumah dengan membaca. Pembacaannya melalui karya Cicero iaitu Hortensius telah membawanya dalam bidang falsafah. Pada tahun 370, dengan bantuan rakannya beliau telah pergi ke Carthage. Di Carthage beliau tinggal bersama seorang guru wanita yang melahirkan seorang anak untuknya bernama Adeodatus.[ii]

            Beliau kemudiannya mengajar retorik di Thagaste dan Carthage, dan pada tahun 383 beliau berhijrah dari Afrika Utara ke Rom bagi mencari pelajar yang lebih baik. Beliau berjaya memohon sebagai seorang profesor retorik di Milan. Pada tahun 386 beliau tiba-tiba meletak jawatan sebagai professor. Beliau meninggalkan cita-cita profesionalnya dan telah dibaptiskan oleh Bishop Ambrose dari Milan pada 387, selepas menghabiskan empat bulan di Cassiciacum di mana karya terawal beliau terhasil. Tidak lama selepas itu, Augustine kembali ke Afrika Utara, dan kehilangan anaknya pada 389. Pada tahun 391 beliau telah ditentukan menjadi paderi kerana didesak oleh masyarakat di kota Hippo walaupun beliau sebenarnya tidak berminat. Pada 395 beliau telah menjadi Bishop dan meninggal pada Ogos 430 di Hippo.[iii]

            Hanya empat tahun daripada tujuh puluh lima tahun kehidupan beliau telah menghabiskan masa di luar Afrika Utara dan lima puluh tujuh daripada baki tujuh puluh adalah tempat-tempat seperti Thagaste dan Hippo. Kedua-duanya ialah milik wilayah Rom. Walau bagaimanapun, beberapa tahun Augustine banyak menghabiskan masa luar dari Afrika Utara yang banyak memberikan pengaruh kepada pemikiran beliau. Karya terawal beliau ialah Soliloquia (Soliloquies, 386/7). Karya utama beliau dalam falsafah Contra Academicos (Against the Academicians, 386-387), De Libero Arbitrio (On Free Choice of The Will, Buku I, 387/9; Buku II & III, sekitar 391-395), De Magistro (On The Teachear, 38), Confessiones (Confessions, 397-401), De Trinitate (On The Trinity, 399-422), De Genesi ad Litteram (On The Literal Meaning of Genesis, 401-415), De Civitate Dei (On The City of God, 413-427), dan Retractationes (Reconsiderations, 426-427).[iv]

Teori Jiwa Menurut Augustine

            Terma-terma yang digunakan Augustine untuk merujuk jiwa dalam karyanya tidak menunjukkan penggunaan yang sistematik namun terdapat terma yang konsisten untuk diklasifikasi. Anima merujuk kepada dua jiwa iaitu jiwa manusia dan jiwa haiwan. Anima atau Animus boleh digunakan kerana tidak menujukkan perbezaan makna kepada jiwa manusia secara umum.[v] Dalam mengembangkan teorinya berkaitan jiwa, beliau mengambil perhatian untuk menyatakan dua isu utama. Pertama, jiwa terletak dalam seluruh badan dan menjadi penguasa yang aktif. Jiwa bukan sahaja memberi petunjuk dalam semua persoalan daya dan pengetahuan, tetapi jiwa juga memaklumkan kepada badan tentang dirinya. Kedua, jiwa menyediakan bukti yang paling kuat berhubung dengan Tuhan. Jiwa adalah cermin kepada sifat Tuhan yang bukan material. Jiwa juga berhubung dengan kebenaran tertinggi.[vi]

            Oleh itu, Augustine menentang ajaran yang menyatakan jiwa itu material. Augustine membuktikan jiwa bukan material dengan mengatakan bahawa jiwa itu berada dalam badan. Jiwa tidak mempunyai bahagian, namun jiwa mempunyai tiga kegiatan utama. Mengingat, memahami dan ketidakmahuan. Oleh itu, jiwa menggambarkan the cosmic trinity. Penciptaan jiwa menurut Augustine ialah jiwa itu diciptakan bukan daripada proses memancar atau emanasi seperti teori Platonis. Penempatannya di dalam badan bukan hasil atau akibat kejatuhannya, melainkan memang kewajaran atau semula jadinya jiwa itu bertempat dalam badan jasmani. Jiwa tidak ada tanpa badan, namun, jiwa tidak bergantung pada badan. Jiwa lebih tinggi daripada badan atau jiwa itu lebih hakikat daripada badan.[vii]

             Beliau juga menegaskan jiwa dicipta dan bukan material. Perubahan keadaan jiwa manusia adalah satu ciri yang tidak hanya berfungsi untuk membezakan ia daripada pencipta tetapi menjelaskan kemungkinan perubahan moral, sama ada untuk lebih baik atau lebih teruk lagi. Dalam De Libero Arbitrio III, Augustine pertama kali berfikir persoalan asal jiwa dengan cara memberi tumpuan kepada kemungkinan tertentu. Beliau berbuat demikian sebagai bantahan terhadap teologi anti-Manichean untuk menunjukkan bukannya Tuhan yang bertanggungjawab dengan kehadiran kejahatan moral di dunia melalui jiwa manusia itu.[viii]

            Sebenarnya, asas doktrin Augustine adalah dengan mengambil penekanan Platonik terhadap idea kebenaran sebagai titik permulaan yang diguna pakai sepanjang abad pertengahan. Namun, Augustine melampaui Platonisme dan Neoplatonisme dalam tiga aspek penting. Pertama adalah untuk memanfaatkan idea atau konsep dalam jiwa adalah bersumberkan Tuhan. Tidak seperti Neoplatonis, mereka tidak secara mudah meletakkan manifestasi kepada Yang Satu tetapi terus mengatakan ia adalah hasil daripada tindakan Tuhan itu sendiri. Dalam keadaan ini Augustine  melihat Tuhan itu sebagai pertama yang tidak boleh berubah dan jiwa itu dapat menyedari Tuhan. Beliau mengemukakan kewujudan Tuhan itu daripada idea-idea yang menetap di dalam jiwa. Namun, beliau tidak cuba menggambarkan Tuhan melangkaui daripada ketetapan sifat Tuhan itu sendiri.[ix]

            Kedua, pandangan Augustine bahawa jiwa memahami idea-idea ini. Cara ini dengan illumination atau pencahayaan, cahaya dalaman yang membolehkan jiwa untuk mengenali mereka. Dalam In the City of God, Augustine menyatakan pencahayaan itu membolehkan jiwa mengetahui tentang sesuatu. Tuhan mencurahkan cahaya pada jiwa manusia dan menyebabkan jiwa itu mampu mengetahui kebenaran. Maka, bagi Augustine dalam mencari kebenaran, Tuhan adalah guru. Aspek ketiga adalah keadaan semula jadi jiwa itu sendiri. Augustine menyakini bahawa jiwa adalah substansi yang bukan material. Beliau menganggap jiwa tidak boleh musnah dan penguasa pada badan. Walaupun beliau tidak menyatakan secara spesifik pada tahap mana jiwa diciptakan, beliau menolak bahawa jiwa wujud terpisah daripada badan.[x]



[i] Ahmad Tafsir. 1992. Filsafat Umum: Akal dan Hati Sejak Thales Sampai James. Bandung: PT Remaja Rosdakarya. hal: 68-79
[ii] Ibid, hal:72-73
[iii] Mendelson, Michael, "Saint Augustine", The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Winter 2012 Edition), Edward N. Zalta (ed.), URL = <http://plato.stanford.edu/archives/win2012/entries/augustine/>.
[iv] Ibid
[v] O’Daly. Gerard. 1987. Augustine’s Philosophy of Mind. Los Angeles: University of California Press. hal: 7
[vi] Gordon Left. 1958. Mediaval Thought: St. Augustine to Ockham. England: Penguins Book Ltd. hal: 42
[vii] Ahmad Tafsir. 1992. Filsafat Umum: Akal dan Hati Sejak Thales Sampai James. Bandung: PT Remaja Rosdakarya. hal: 77-78
[viii] Mendelson, Michael, "Saint Augustine", The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Winter 2012 Edition), Edward N. Zalta (ed.), URL = <http://plato.stanford.edu/archives/win2012/entries/augustine/>.
[ix] Gordon Left 1958. Mediaval Thought: St. Augustine to Ockham. England: Penguins Book Ltd. hal: 40-41
[x]  Ibid, hal:41-42

No comments:

Post a Comment