Thursday 18 April 2013

Sebab-sebab SKIZOFRENIA


Seperti kebanyakan penyakit-penyakit lain, skizofrenia dipercayai disebabkan oleh kombinasi persekitaran dan masalah genetik. Penyakit ini mempunyai kaitan dengan rangkaian biologi manusia sama seperti penyakit kanser dan diabetis. Antaranya:

1.      Diwarisi
Beberapa peneliti menyatakan gen mungkin menjadi penyebab. Anak yang hidup di dalam keluarga yang ibu bapanya menghidap skizofrenia kemungkinan besar akan mewarisi penyakit ini. (Julianto 2008: 13). Hubungan keluarga kelas kedua juga memberikan kesan kepada penyakit ini. Kembar seiras mempunyai peluang yang lebih tinggi atau sebanyak antara 40 hingga 65 peratus untuk mendapat skizofrenia (Kosmo 26 Mac 2008).

2.      Masalah kimia otak
Ketidakseimbangan kimia otak iaitu dopamine dan glutamate (atau yang lain-lain) juga memainkan peranan dalam membentuk skizofrenia. Ia terjadi akibat ketidakseimbangan pada dopamine iaitu salah satu sel kimia dalam otak. Otak pada dasarnya terbentuk dari sel saraf yang disebut neuron dan kimia neutrotransmitter. Selain itu, kajian terbaru berkenaan dengan penyakit ini menunjukkan jenis neutrotransmitter lain iaitu serotonin juga boleh menyumbang kepada gejala penyakit ini (Kosmo 26 Mac 2008).

3.      Ketidakseimbangan struktur otak
Mereka yang menghidap skizofrenia mempunyai otak yang sedikit berbeza daripada manusia biasa. Kadangkala ventrikel otak orang yang menghidap skizofrenia lebih besar. Gray matter otak orang yang menghidap skizofrenia lebih rendah dan sebahagian aktiviti atau metabolisma otak adalah kurang atau lebih (Kosmo 26 Mac 2008).

          Faktor genetik merupakan punca utama penyakit skizofrenia. Skizofrenia merupakan penyakit turun temurun yang bermula daripada generasi terdahulu dan diwarisi oleh generasi akan datang dalam sesebuah keluarga. Trauma dan kecederaan pada otak mengakibatkan penyakit skizofrenia. Seseorang yang mengalami trauma akan berfikiran negatif, berkelakuan aneh dan bersendirian. Sekiranya pencegahan awal tidak dilakukan, seseorang itu berisiko mengalami penyakit tersebut. Faktor penyumbang kepada penyakit itu termasuk keturunan, semasa lahir, personaliti, ketidaknormalan saraf otak, sikap keluarga, biokimia, persekitaran dan penyalahgunaan dadah (Utusan Malaysia 8 Jun 2009).

            Menurut pandangan Schneider, halusinasi dan delusi adalah faktor utama berlakunya kecelaruan skizofrenia. Kecelaruan mood dan pemikiran pula adalah faktor kedua mengapa berlakunya skizofrenia (Azizi Yahaya et.al 2006: 182).

Sebab-sebab lain:

1.      Faktor usia
Skizofrenia umumnya terjadi pada akhir masa remaja dan awal masa dewasa. Skizofrenia jarang berlaku pada masa kanak-kanak. Insiden ini bermula pada umur 15 hingga 25 tahun bagi lelaki dan 25 hingga 35 tahun bagi wanita (Sheila 2001: 348).

2.      Faktor Lingkungan
Faktor-faktor lingkungan yang mempengaruhi atau menimbulkan penyakit ini antaranya ialah kebudayaan, ekonomi, pendidikan, faktor sosial, penggunaan ubat-ubatan, stress, penceraian, penganiayaan dan sebagainya (Julianto 2008: 15).

3.      Psikologi
Menurut Kohut, psikosis merupakan akibat adanya gangguan yang serius pada diri, iaitu ketika tidak ada unsur defensif yang dapat mengatasinya. Gangguan yang serius dalam kehidupan akan membuatkan keperibadian individu dan perkembangannya tidak berjalan normal. Keadaan inilah yang memungkinkan berkembangnya suatu proses skizofrenia dalam keperibadian individu (Singgih 2004: 334). Beberapa teori lain menemukan ada faktor nutrisi, lingkungan keluarga dan reaksi terhadap stress menjadi penyebab skizofrenia (Julianto 2008: 13). Mengalami tahap tekanan perasaan atau stress yang tinggi iaitu ketika dibawah tekanan atau situasi yang membingungkan, termasuk perhatian yang berlebihan terhadap sesuatu dapat mewujudkan penyakit ini.

Berdasarkan kepada filem “A Beautiful Mind” pelakon utamanya iaitu John Nash dilihat tidak boleh berinteraksi sosial seperti orang lain. Dia tidak menyukai orang lain dan menganggap orang lain tidak menyukai dirinya sehingga dia hanya memiliki seorang teman iaitu Charles Herman. Nash juga digambarkan sebagai lelaki yang sombong dan bangga dengan kepandaiannya. Hal ini ditunjukkan dengan cara beliau tidak mahu mengikuti kuliah dan suka menghabiskan masanya dengan mencipta teori matematik yang baru. Beliau sangat menginginkan idea yang original dan gelaran doktor. Oleh itu, beliau lebih suka mengurungkan diri di dalam bilik selama beberapa hari tanpa tidur siang dan malam semata-mata untuk mencipta teori tersebut. Akhirnya, Nash berjaya menemukan konsep baru yang bertentangan dengan teori bapa ekonomi moden dunia, Adam Smith. Teori inilah yang membawa Nash meraih gelaran doktor dan beliau berjaya diterima sebagai pengajar di MIT. Disebabkan sikapnya yang sedemikian, berkemungkinan beliau mengalami keadaan ketidakseimbangan struktur otak iaitu keadaan otaknya mungkin berbeza daripada otak manusia yang lain kerana ia mampu untuk berfikir rumus matematik yang tidak mungkin boleh terfikir oleh orang lain.
           
John Nash seorang yang pemalu dan sikapnya yang suka menyendiri, rendah diri (merasa dirinya tidak disukai oleh orang lain), kaku dan tidak bersosial boleh dijadikan sebab beliau mengalami skizofrenia. Beliau menganggap dirinya tidak disukai orang dan beliau juga tidak suka bergaul sehinggakan menjauhkan diri daripada khalayak. Persepsi inilah yang menyebabkan Nash bermain-main dengan dunia khayalannya sendiri. Beliau mencipta rakan khayalan iaitu Charles Herman, Marcee dan William Parcher.

Antara kejadian yang membuatkan skizofrenia John Nash bertambah parah ialah:
1)      Kalah dalam permainan bersama rakannya
2)      Merasa gagal berprestasi untuk mencapai cita-citanya
3)      Merasa tidak dapat melayani isterinya
4)      Tidak boleh bekerja atau mendapatkan pekerjaannya kembali.

Sebagai kesimpulannya, walaupun tiada punca sama yang menjadi penyebab skizofrenia telah dikenal pasti dalam kesemua individu yang menghidap penyakit ini, tetapi kini kebanyakan penyelidik dan pakar perubatan percaya bahawa ia disebabkan oleh gabungan oleh kedua-dua kelemahan otak manusia (sama ada diwarisi atau didapati) dan tekanan pengalaman hidup. 

No comments:

Post a Comment