Simptom skizofrenia dapat dibahagikan kepada
tiga aspek yang penting iaitu kecelaruan kognitif, gangguan emosi dan
kecelaruan tingkah laku.
1. Kecelaruan Kognitif
Ciri utama penghidap skizofrenia apabila mengalami
keadaan ‘tidak berpijak di alam nyata’. Pesakit biasanya mempunyai kepercayaan
ganjil dan tidak betul, mempunyai persepsi yang salah, pemikiran dan bahasa
yang terpisah-pisah dan tidak logik. Mereka juga mengalami kecelaruan tumpuan
iaitu tidak dapat memberikan tumpuan kepada sesuatu perkataan atau peristiwa.
Menurut Ramli (1978) dalam Azizi (2006) seseorang yang mengalami kecelaruan ini
ialah seorang introvert yang suka
bersendirian, sukar dan tidak berasa selesa bergaul dengan orang lain serta
gemar berkhayal dan lebih suka hidup dengan fantasinya sahaja. Kecelaruan
persepsi ini dikenali sebagai halusinasi dan kecelaruan kepercayaan pula
dikenali sebagai delusi. Kecelaruan kognitif dapat dibahagikan kepada dua iaitu
halusinasi dan delusi (Azizi Yahaya et. al 2006: 183).
1.1 Halusinasi (Hallucination)
Halusinasi adalah pengalaman persepsi tanpa
kehadiran rangsangan deria. Pesakit mungkin dapat mendengar, melihat, merasa
ataupun mencium sesuatu yang sebenarnya tidak ada di persekitarannya.
Halusinasi ini seolah-olah seperti benar kepada pesakit dan mungkin disebabkan
oleh kebimbangan dan perubahan-perubahan fungsi dalam sistem saraf. Bagi
manusia yang normal, mimpi semasa tidur yang dialami mungkin dapat
menggambarkan halusinasi bagi penghidap skizofrenia. Jenis-jenis halusinasi
dapat dikategorikan seperti berikut:
1.1.1
Halusinasi pendengaran:
Seseorang itu dapat mendengar suara seperti
mendengar suara tuhan, hantu, jiran ataupun saudara mara yang mungkin akan
mengatakan sesuatu yang baik ataupun tidak baik walhal suara itu tidak ada.
Kajian
McGuire, Shah & Murray (1993), mendapati sebahagian daripada otak yang
paling aktif semasa halusinasi adalah daripada kawasan Broca. Kawasan Broca
adalah kawasan pertuturan. Sementara kawasan Wernicke’s adalah kawasan
pendengaran. Menurut Hoffman, Rapoport, Mazure & Quinlan (1999) dalam
Barlow & Durand (2002) dapatan yang diperolehi daripada pemerhatian
menyokong teori yang menyatakan seseorang yang mengalami halusinasi sebenarnya
tidak mendengar suara luar tetapi mendengar suaranya sendiri dan tidak boleh
membuat perbezaan sebenar.
1.1.2
Halusinasi penglihatan:
Ia berlaku apabila penghidap skizofrenia dapat
melihat sesuatu dengan jelas, dekat dan bergerak tetapi pada hakikatnya tidak
dapat dilihat oleh orang yang normal. Contohnya, seseorang itu dapat melihat
Tuhan, nabi, roh orang yang telah mati dan sebagainya.
Berdasarkan filem A
Beautiful Mind berlaku persepsi palsu atau menganggap suatu hal ada
dan nyata padahal kenyataannya hal tersebut hanyalah khayalan semata-mata. John
Nash mengalami halusinasi bertemu dengan tiga orang yang secara nyata tidak ada
iaitu Charles Herman, William Parcher dan Marcee. Selain itu juga makmal
rahsia, dan juga kod nombor yang dipasang pada tangannya juga merupakan
halusinasi beliau yang tidak nyata.
![]() |
John Nash bersama William Parcher |
![]() |
John Nash bersama Charles Herman |
![]() |
John Nash bersama Marcee |
![]() |
Memecah Kod Rahsia |
1.2 Delusi (Delusion) :
Menurut Mueser dan Gingerich (1995) delusi
merupakan kepercayaan yang salah yang tidak dikongsi dengan orang lain. Ia
adalah kepercayaan yang tidak berdasarkan realiti dan sering menganggapnya
sebagai perkara yang betul-betul berlaku. Kepercayaan yang salah ini tidak
dapat dibetulkan dengan alasan, berlaku tidak kira latar pendidikan atau budaya
seseorang itu. Sebagai contoh, pesakit percaya bahawa beliau adalah keturunan
nabi, orang yang terkenal ataupun percaya ada pihak cuba menipu, memalukannya,
mengintip, menjatuhkannya, mencederakan, membunuh ataupun menghancurkannya.
Terdapat beberapa jenis delusi iaitu:
1.2.1 Delusi Penyeksaan dan Penganiayaan: pesakit
mempercayai bahawa masyarakat sentiasa
berbicara tentang dirinya, mengawasi tindak tanduknya, menyimpan dendam
terhadapnya dan cuba membunuhnya.
1.2.2 Delusi Kebesaran dan Kemuliaan: wujud daripada
perasaan rendah diri dan berasa diri tidak selamat. Pesakit mempercayai bahawa
orang sentiasa mengawasinya kerana kekuasaan yang dimilikinya.
1.2.3 Delusi Pengaruh: pesakit percaya adanya kuasa
luar yang cuba mengawasinya. Dia juga merupakan individu yang dapat
mempengaruhi orang lain dengan utusan atau perintah daripada Tuhan yang
dipertanggungjawabkan.
John Nash sangat terpengaruh
dengan keyakinan bahawa kekuatan dari luar sedang mencuba untuk mengendalikan fikiran
dan tindakannya. Adegan yang menunjukkan pengaruh ini iaitu ketika beliau disuruh
membunuh isterinya, ketika disuruh menunjukkan bahawa dia genius, dan ketika
diyakinkan bahawa dia tidak bererti oleh rakan halusinasinya, dan juga bahawa
dirinya memiliki suatu kelebihan dan kekuatan serta menjadi orang penting. John
Nash menganggap dirinya adalah pemecah kod rahsia terbaik dan mata-mata agen
rahsia.
1.2.4 Delusi
Hipokondriak: pesakit merasakan kesakitan tubuh badan yang pada hakikatnya
adalah palsu.
1.2.5 Delusi
Sangkaan: pesakit percaya semua perbuatan tertumpu kepadanya.Semua berita di
akhbar, radio dan televisyen hanya berbicara tentang dirinya.
1.2.6 Dipersonalisasi: pesakit percaya tubuh badan
mereka berubah bentuk kepada bentuk yang tidak menyerupai manusia.
1.2.7 Derealisasi: pesakit percaya alam semulajadi
mengalami perubahan yang jelas.
2. Gangguan Emosi
Gangguan emosi ini bermaksud kurang ataupun
tidak menunjukkan gerak balas emosi ataupun mempunyai gerak balas emosi yang
tidak sesuai dengan situasi. Proses pemikirannya sering kali tidak logik dan
tidak berkait atau berkesinambungan antara satu dengan lain. Misalnya, bersedih
ketika orang lain bergembira, ketawa ketika orang lain menangis dan sebagainya.
Antara jenis-jenis gangguan emosi adalah:
2.1 Emosi yang tidak sesuai:
berlaku apabila emosi tidak sesuai dengan situasi berlaku kepada pesakit. Contohnya,
apabila diminta mematikan radio, pesakit akan ketawa secara keterlaluan.
2.2 Emosi malap: emosi yang sentiasa
murung dan tidak menceriakan. Contohnya, pesakit hanya senyum sedikit, tanpa
menunjukkan senyuman yang sewajarnya apabila diberikan hadiah.
2.3 Emosi berlebih-lebihan: berlaku apabila
pesakit mengalami emosi yang berlebihan daripada yang sepatutnya. Contohnya,
pesakit menunjukkan kegembiraan yang melampau seperti melonjak-melonjak dan
ketawa yang kuat apabila diberikan duit walaupun hanya berjumlah 50 sen.
2.4 Emosi mendatar: berlaku apabila pesakit tidak
menunjukkan tindak balas emosi terhadap peristiwa atau situasi yang berkaitan
dengan dirinya. Contohnya, pesakit tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila
diberitahu bahawa kucing kesayangannya mati.
Adegan yang paling jelas dalam filem tersebut
adalah iaitu ketika John Nash mendukung anaknya dan menawar diri untuk menjaga
serta memandikan anaknya, beliau telah merendam anaknya dan tidak menyedari
kesilapan yang dilakukan kerana anaknya itu masih bayi. John melakukan hal
tersebut tanpa emosi sedikitpun.
2.5 Anhedonia: keadaan pesakit tidak mampu
mengalami keseronokan, menyebabkan emosi pesakit kosong dan sesetengah daripada
mereka akhirnya membunuh diri Kasih (Azizi Yahaya et. al 2006: 186).
3. Kecelaruan Tingkah Laku
Kecelaruan tingkah laku berlaku apabila pesakit
menarik diri daripada perhubungan sosial (tarik diri sosial). Dalam kes
tertentu, mereka inginkan hubungan yang rapat dengan orang lain, tetapi takut
kepada orang ramai ataupun menunjukkan kurang minat pada orang lain. Kadangkala
pesakit hilang motivasi, tiada aktiviti yang bermatlamat. Suka berkeliaran dan kadang kala
menghilangkan diri tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga (Utusan
Malaysia 25 April 2010). Mereka juga mengalami kecelaruan seperti
melakukan ekspresi muka yang ganjil, terlalu aktif ataupun sebaliknya tidak
bergerak langsung ataupun seperti robot. Kadangkala bahasa pesakit sukar
difahami. Mereka juga boleh bertindak seperti kanak-kanak dan menunjukkan
tingkah laku yang kurang sesuai di khalayak ramai misalnya daripada segi
pakaian. Terdapat pesakit yang tidak mampu menjaga dan membersihkan diri
seperti tidak mandi, menggosok gigi dan menukar pakaian. Menurut Hawari (2003),
seseorang yang menderita skizofrenia adalah seseorang yang mengalami keretakan
jiwa atau keretakan keperibadian.
Dalam filem menunjukkan watak John Nash tidak mampu berinteraksi sosial seperti orang lain pada umumnya, beliau tidak menyukai orang lain dan menganggap orang lain tidak menyukai dirinya sehingga tidak mempunyai rakan.
Dalam filem menunjukkan watak John Nash tidak mampu berinteraksi sosial seperti orang lain pada umumnya, beliau tidak menyukai orang lain dan menganggap orang lain tidak menyukai dirinya sehingga tidak mempunyai rakan.
No comments:
Post a Comment